Ya, ku mengaku. Semasa SPM ku ada menggunakan teknik 'mengelak' untuk perkataan yang maknanya ku tidak tahu. "Raja Andromeda memerintah rakyat jelatanya untuk mencari maksud perkataan 'perawan' supaya raksasa laut yang ganas tidak akan membaham puterinya." (petikan ini diambil daripada kertas tuisyen Tingkatan 5 yang sedang ku guna sebagai.. er.. petanda buku? penanda? pentanda? nampaknya tuisyen kurang membantu.)
Mari kita menganalisa isi tersurat ayat ini. Kita tahu bahawa galaksi Andromeda masih mengamalkan sistem feudal. Kita juga tahu bahawa terdapat raksasa ganas yang mempunyai kosa kata yang lebih luas daripada seorang pelajar Tingakatan 5. Bagaimana pula dengan isi tersirat? Kita tahu bahawa raksasa ganas ini sedang mempermain-mainkan raja ini kerana ayat tersebut penuh dengan ironi (hanya jika seseorang itu tahu maksud perkataan 'perawan'). Kita juga tahu bahawa tidak terdapat Kamus Dewan di istana Andromeda. Kita juga tahu bahawa penulis ayat tersebut sama ada kurang waras, atau tidak tahu langsung maksud perkataan 'perawan'. Atau sedang bermimpi di dalam kelas.
Dalam kes ini, ku agak bersyukur ayat ini yang digunakan. Ayat lain yang agak kerap ku gunakan adalah "Adik pulang dengan muka yang berseri-seri kerana diberi hadiah oleh gurunya setelah menerangkan makna perkataan [perkataan] kepada rakan-rakan sekelas". Habislah masa depan adik tersebut, jikalau perkataan tersebut adalah 'perawan'. Harap-harap tidak dibuang sekolah.
Susah betul untuk menaip dalam Bahasa Melayu. Garisan merah di seluruh... erm.. textbox? kotak perkataan? Apa-apa sahajalah. Banyak sangat... erm.. hyphen? dalam BM ini. Kata ganda memang menggandakan benda-benda yang hendak ditaip. Itulah sebabnya latihan kata ganda amat memafankan. Dan yea, apabila diminta untuk membimbing adik untuk ujiannya, ku telah mewariskan teknik 'mengelak' ku. Tidak banyak yang boleh ku ajar. Jelas sekali.
Maaf maaf. Terpesong. Adakah aku akan menjadi otaku? Ku bagaikan disedut ke dalam dunia anime. Dahulukala, anime ialah Doraemon, Sailormoon, dan Dragonball. Ku tidak berapa suka. Yang ku suka ialah Pokemon, dan ku tidak pernah terfikir bahawa Pokemon adalah anime. Nama-nama Pokemon adalah variasi perkataan Inggeris, dan bukan perkataan Jepun. Oleh itu, Pokemon ialah kartun, bukan anime, dan amat mengasyikkkan.
Kini ku kembali ke dunia pelik yang digelar Jepun. Tak puas 1945, tak puas kena bom, orang Jepun itu kembali menjajah dunia dengan mata yang 20 kali lebih besar daripada pelukisnya dan rambut yang tidak mungkin boleh diduplikasikan dalam dunia sebenar. Malangnya, ku terperangkap dalam Fullmetal Alchemist, Haruhi Suzumiya dan Studio Ghibli. Mampuslah masa depanku. Mampuslah interaksi sosialku. Mampuslah nutrisi badanku. Mampuslah tidurku.
Mampuslah kalau ini esei SPM.
1 comment:
i like XD
if spm was a creative writing thing, you would have scored!
Post a Comment